Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad S.A.W

Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad S.A.W l Assalamualaikum. Harap tak terlambat untuk Ana ucap Salam Israk Mikraj buat semua. Tarikh 27 Rejab merupakan tarikh memperingati Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa Israk dan Mikraj ni berlaku setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah.



Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad S.A.W


Bila sebut tentang Israk dan Mikraj ni, kita semua akan teringat kisah perjalanan Baginda Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail. Perjalanan ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Israk dan Fasa Mikraj. 


Fasa Israk merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W menaiki binatang yang dikenali sebagai Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.


Manakala fasa Mikraj pula merupakan perjalanan Baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Israa’ Ayat 1 yang berbunyi :


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” 



Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad Dalam 1 Malam


Apa yang menarik tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini tak lain tak bukan ialah proses perjalanan Rasulullah S.A.W dari kota Mekah ke Masjid Aqsa dan seterusnya naik ke langit ketujuh dalam satu malam sahaja.


Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj tersebut berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan Baginda Nabi sedar. Ini bermaksud ianya berlaku pada jasad dan roh Nabi Muhammad S.A.W, bukan sekadar rohnya sahaja.


Pendapat ini selari dengan ayat Al-Quran di atas di mana Allah S.W.T menegaskan pada ayat “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan itu merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.



Israk dan Mikraj Menguji Tahap Keimanan Seseorang


Setelah Rasulullah S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum,  maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda Nabi. Manakala bagi orang yang tipis imannya, mereka jadi berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya


Fitnah terhadap Baginda Nabi bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam kembali murtad.


Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, mereka tetap utuh dan percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini. Malah mereka membenarkan kata-kata Baginda SAW. 


Ini boleh dilihat melalui reaksi Saidina Abu Bakar apabila beliau mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan :


“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah SAW Jika baginda SAW mengatakan bahawa Baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”


Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Saidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan RasulNya sehingga beliau digelar As-Siddiq yang membawa maksud pembenar.



Peristiwa Ajaib Israk dan Mikraj



Peristiwa Semasa Perjalanan Israk


Peristiwa Israk dan Mikraj bermula dari perjalanan Baginda Nabi dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa di mana perjalanan tersebut diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil.


Sepanjang perjalanan tersebut, apabila tiba di satu-satu tempat yang mulia dan bersejarah, Rasulullah SAW telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat. Di antara tempat-tempat tersebut ialah:


• Negeri Thaibah (Madinah) - tempat di mana Rasulullah SAW akan melakukan hijrah.


• Bukit Tursina - tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah S.W.T.


• Baitul-Laham - tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan


Dikatakan dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad S.A.W juga menghadapi gangguan dari jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa yang amat ajaib. Di antara peristiwa-peristiwa tersebut ialah :


1. Kaum yang sedang bercucuk tanam dapat terus menuai hasil tanaman mereka. Dan apabila dituai, hasil tuaian yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.


Lalu Jibrail memberitahu Rasulullah S.A.W bahawa kaum tersebut ialah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan kepada mereka sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


2. Baginda melewati sebuah tempat yang berbau harum. Kemudian Jibrail memberitahu bahawa bau tersebut datang dari kubur tukang sisir rambut anak Fir’aun iaitu Masyitah bersama suami dan anak-anaknya. 


Ini termasuk kubur bayinya yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah S.W.T dan enggan mengakui Fir’aun sebagai Tuhan.


3. Sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.


4. Jibrail memberitahu Rasulullah ﷺ: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat)."


Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.


Kata Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”


5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.


Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”


6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.


Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba.”


7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain.


Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”


8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.


Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”


9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.


Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”


10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.


Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”


11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ﷺ tidak memperdulikannya.


Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah ﷺ memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”


12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ berhenti. Rasulullah ﷺtidak menghiraukannya.


Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”


13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah ﷺ untuk bertanyakan sesuatu.


Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”


Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.


Nabi Muhammad ﷺ terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu diminumnya.


Kata Jibrail: “Baginda ﷺ membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Peristiwa Semasa Perjalanan Mikraj


Perjalanan mikraj merupakan perjalanan Baginda ke Hadhratul-Qudus untuk menemui Allah S.W.T. Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad ﷺ dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).



Di Tangga Pertama:


Nabi Muhammad ﷺ dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang² yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.


Di Tangga Kedua:


Nabi Muhammad ﷺ. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.


Di Tangga Ketiga:


Naik langit ketiga. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.


Di Tangga Keempat:


Naik tangga langit keempat. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Idris A.S.


Di Tangga Kelima:


Naik tangga langit kelima. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


Di Tangga Keenam:


Naik tangga langit keenam. Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Nabi². Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


Di Tangga Ketujuh:


Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah ﷺ.


Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumpa dengan Allah سبحانه وتعالى pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:


“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”


Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda,


“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:


“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”


Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”


Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah ﷺ dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul² di atas Baitullah di Mekah).


Di Tangga Kelapan:


Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺ menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun², batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata² yang indah. Unggas² emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ﷺ dapat menyaksikan juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.


Di Tangga Kesembilan:


Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺmasuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


Di Tangga Kesepuluh:


Rasulullah ﷺ sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah سبحانه وتعالى dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah سبحانه وتعالى dan Muhammad, Rasul-Nya:


Allah سبحانه وتعالى: “Ya Muhammad!”


Nabi Muhammad ﷺ: “Labbaika.”


Allah سبحانه وتعالى: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”


Nabi Muhammad ﷺ : “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”


Allah سبحانه وتعالى: “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji² Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”


4. Selesai Munajat


Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah ﷺ merayu kepada Allah سبحانه وتعالى agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu.


Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه وتعالى perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


5. Selepas Mikraj


Nabi Muhammad ﷺ turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).


(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)


Penutup


Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.


Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah سبحانه وتعالى dan takut kepada kekuasaan-Nya.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.


Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). 


Orang² kafir di zaman Nabi ﷺ langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sebaik Baginda  bercerita kepada mereka.


Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda  ﷺ.


Firman Allah سبحانه وتعالى:


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١


“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” **(Surah Al-Israa’: Ayat 1)**


والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad S.A.W Reviewed by Ana Suhana on March 12, 2021 Rating: 5

1 comment:

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih pada yang sudi tinggalkan jejak di sini. InsyaAllah Ana akan membalas kunjungan anda semua ❤

All Rights Reserved by Ana Suhana © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.