Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang

Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang l Assalamualaikum. Siapa tak nak hidup bebas dari hutang kan. Tapi tu lah, nak tak nak kena juga berhutang. Baik hutang untuk pinjaman rumah baik beli siap atau bina rumah sendiri, hutang pinjaman kenderaan mahupun pinjaman pengajian. Nilai pula bukan sikit-sikit. Tu belum masuk dengan bunga dan faedah bagai. 

Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang


Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang


Hutang ni kalau tengok semula dah jadi sebahagian dari hidup manusia sejak dulu lagi. Islam pun mengharuskan transaksi hutang jika benar-benar terdesak tapi bukan dengan tujuan untuk bermegah. 


Menurut HR Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aishah RA, Nabi Muhammad s.a.w pun dikatakan penah terpaksa berhutang dengan seorang Yahudi kerana ingin membeli makanan. Dan Baginda mencagarkan baju besinya sebagai jaminan hutang tersebut.


Selepas kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w, Sayidina Abu Bakar RA bertemu dengan Yahudi tersebut dengan tujuan untuk menebus hutang Baginda. Namun Yahudi tersebut mengatakan yang beliau tak perlu pun menebus hutang tersebut kerana jaminan yang diberi Baginda Nabi melebihi nilai hutangnya.


Ini menunjukkan sikap mulia Baginda Nabi yang tak pandang remeh dalam bab hutang. Baju besi yang Baginda cagarkan mempunyai nilai lebih tinggi daripada nilai hutangnya. Hal ini menunjukkan kepada kita dua perkara :


1. Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh dalam melangsaikan hutang.


2. Rasulullah s.a.w tidak senang-senang berhutang tanpa meletakkan satu komitmen.



Gambaran Buat Orang Yang Tidak Mahu atau Malas Bayar Hutang


Setiap hari kita boleh nampak status keluhan kawan-kawan atau keluarga kita yang susah nak dapat balik pinjaman atau hutang yang telah diberikan.


Kenapa ini terjadi?


Kalau nak berhusnuzon, mungkin mereka yang berhutang tu masih dalam situasi kesempitan wang. Sebab tu mereka masih belum mampu untuk bayar hutang mereka.


Tapi tak lari juga kes di mana mereka yang berhutang saja-saja tak mahu bayar atau malas nak bayar hutang mereka. Dalam erti kata lain, buat-buat lupa. Nak kata kesempitan wang, nampak status fb berjalan sana-sini, makan luar setiap minggu dan bershopping sakan.  Situasi macam ni memang sukar untuk kita berhusnuzon dengan mereka. Hutang nafkah jangan buat-buat lupa juga. Hutang juga tu. Kalau tak bayar, jangan sampai kena naik mahkamah dan berdepan dengan peguam syarie bekas isteri pula.

Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang


Tapi tahu tak yang Al-Quran dan hadis telah memberikan gambaran yang amat dahsyat kepada si penghutang yang malas nak bayar hutang mereka. Sedangkan masa si pemberi pinjaman atau hutang masa dulu, sudah tentu mereka mengharapkan si menerima pinjaman akan melunaskan hutang mereka.


Tapi bila ini berlaku, secara langsung telah menyebabkan penganiayaan kepada si pemiutang kerana haknya dikhianati. Seperti orang lain, si pemiutang juga mempunyai tanggungan dan memerlukan duit untuk kelangsungan hidup. 


Dalam hal sebegini, Rasulullah SAW pernah bersabda :


"Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)."

(HR Muslim).


Begitu juga hadis yang bermaksud:l :


"Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan."

(HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi)



Dalam Al-Quran sendiri ada menerangkan tentang beratnya perihal hutang dengan ayat paling panjang, iaitu surah al-Baqarah ayat 282. Sehinggakan ada ayat lain dalam Al-Quran yang menjelaskan bahawa hutang perlu dibayar atau diselesaikan walaupun si penghutang telah meninggal dunia dengan menggunakan hartanya sendiri sebelum dibahagikan sebagai pusaka kepada waris.


Allah SWT berfirman :


"Dan bagimu (suami) satu perdua daripada harta ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat harta ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) selepas dibayar hutangnya."

(Al-Nisa': 12)



Doa Untuk Bebas Hutang

Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang


Siapa yang tak nak hidup bebas hutang kan. Tu antara hajat utama setiap penghutang sebenarnya. Ini kerana kita akan rasa nikmat dan selamat bila tidak terikat dengan hutang sehingga kita meninggal dunia. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ


Maksudnya : Daripada Abu Hurairah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Jiwa seorang mukmin itu bergantung dengan hutangnya hingga dijelaskan"

(Hadis At-Tirmidzi No: 999)


Ini untuk mengingatkan si penghutang agar berusaha agar segala hutangnya dilunaskan dengan segera. Jika tidak,  hutang yang tidak dijelaskan semasa hidup di dunia akan dibayar dengan pahala ibadat kepada orang yang kita berhutang di akhirat nanti. 


Rasulullah SAW bersabda:


مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِىَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ


Maksudnya: “Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (pahala di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.”

(HR. Ibnu Majah No: 2414)


Rasulullah SAW ada mengajar doa agar dibebaskan daripada hutang. Abu Said Al-Khudhri RA berkata :


"Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid. Tiba-tiba ada seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: "Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk (di masjid) di luar waktu solat?” Beliau menjawab: ”Aku resah memikirkan hutangku, wahai Rasulullah". Baginda bertanya : "Mahukah aku ajarkan kepadamu sebuah doa yang apabila engkau baca maka Allah Taala akan menghilangkan keresahanmu dan melunasi hutangmu?” Dia menjawab: "Sudah tentu Ya Rasulullah".


Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang


Baginda SAW bersabda, "Jika engkau berada di waktu pagi mahupun petang, bacalah doa ini :


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ


Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari cengkaman hutang dan penindasan orang.”


Maka Abu Umamah RA menceritakan kisah ini, "Aku buat seperti mana Rasulullah SAW menyuruh aku mengucapkan doa ini pada waktu pagi dan petang. Maka Allah SWT telah menghilangkan rasa gundah gulana dan keluh kesah yang menghimpit aku ini dan juga hutang piutang yang telah membebani aku"

(HR Abu Daus: 1555).


Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab (yang mengadakan perjanjian pembebasan dengan tuannya) datang kepadanya dan berkata; aku tidak mampu membayar pembebasanku, maka tolonglah aku! Ali berkata; mahukah aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepadaku, yang seandainya engkau memiliki hutang sebesar gunung Shir nescaya Allah akan membayarkannya untukmu.


Ali RA berkata; ucapkanlah;


اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ


Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki Mu yang halal (dan jauhkan aku) dari yang haram. Cukupkanlah aku dengan kurnia Mu dan jauhkan aku dari bergantung pada selainMu.

(HR Tirmizi No: 3563)



Kesimpulan


Daripada perkongsian di atas, dapat disimpulkan yang aktiviti berhutang dibolehkan dalam Islam dengan syarat untuk tujuan kelangsungan hidup, bukan untuk bermegah. Namun si penghutang kena sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk berusaha membayar hutang yang diterima seperti yang dijanji. Sikap amik tidak endah dan culas dalam membayar hutang sangat ditegah dalam Islam kerana akan memberi kemudaratan pada diri si penghutang itu nanti. Amalkan doa bebas hutang yang diajar Baginda Nabi agar kita dapat kemudahan dalam melunaskan segala hutang yang membelengu. InsyaAllah. 


Hukum Berhutang dan Doa Untuk Bebas Bebanan Hutang Reviewed by Ana Suhana on November 05, 2021 Rating: 5

2 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian, aminn ya rabbal alamin..

    ReplyDelete
  2. bila nampak tajuk hutang ni.. trigger jap.. bila tengok orang berhutang berbelanja.. tapi hutang kita buat2 lupa.. moga dia bacalah doa2 sepatutnya

    ReplyDelete

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih pada yang sudi tinggalkan jejak di sini. InsyaAllah Ana akan membalas kunjungan anda semua ❤

All Rights Reserved by Ana Suhana © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.