Kelebihan Istighfar - Ana Suhana

Apr 26, 2019

Kelebihan Istighfar


Kelebihan Istighfar l Assalamualaikum. Ana ada baca satu artikel di salah satu keratan akhbar tentang kelebihan Istighfar hasil tulisan Fatimah Syarha Mohd Noordin. Dan Ana rasa bagus untuk Ana kongsikan bersama moga mendapat manfaat buat kita semua dan buat penulis, semoga pahala yang berpanjangan insyaAllah.
Kelebihan Istighfar
Kelebihan Istighfar
Kelebihan Istighfar

Lumrah hidup seharian. Mesti ada masanya hari-hari yang kita lalui terasa sangat susah, payah, berat. Ada saja ujian dan dugaan yang kita kena tempuh - kereta rosak, anak sakit, duit tak cukup, hutang banyak, pasangan merajuk, kerja tidak siap dan pelbagai lagi cabaran hidup.

Pastinya saat itu emosi kita pada tahap yang sangat goyah, berkecamuk dan terganggu. Ibarat mengalami musim kemarau yang berpanjangan. Namun Allah mengajar kita, penawar atau penyejuk kepada perasaan tadi adalah dengan beristighfar - zikir yang sering diucapkan Baginda Nabi Muhamad SAW.

Baca juga : Koleksi Sunnah Nabi SAW Yang Mudah Diamal

Tahu tak kita bahawa Allah sengaja mendatangkan pelbagai jenis masalah dan ujian untuk melihat sejauh mana kita berusaha untuk menyelesaikannya. Allah nak tengok adakah kita ni hanya tahu merintih, mengeluh saja atau kita berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, ayat 10-12)

Apa perasaan korang bila baca ayat dekat atas? Ada sesetengah dari kita akan bertambah bersemangat untuk selalu memohon keampunan Allah kerana terkesan dengan Firman Allah di atas. Allah Maha Kaya. Dia bukan sahaja menjanjikan keampunan kepada hambaNya, bahkan menjanjikan kekayaan daripada limpah kurnia-Nya yang luas.

Para ulama yang berfikir dengan cara al-Quran dan al-Sunnah cukup memahami hakikat kehidupan ini. Ibnu Kathir berpesan, “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan amalan ini iaitu memperbanyak istighfar, maka Allah akan memudahkan rezekinya, memudahkan urusannya dan menjaga kekuatan jiwanya.

Ibnu Qayyim pula berkata: “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.”

Seperti yang kita tahu, lafaz istighfar itu merupakan salah satu cara untuk kita memohon keampunan kepada Allah setelah tersedar daripada melakukan dosa. Harapnnya agar Allah sudi memaafkan kita. Namun tahu tak yang kelebihan istighfar bukan sekadar itu saja. Jom baca kisah di bawah ni.

1. Kisah Pakar Bedah Kardiotorasik Terkenal dari Mesir

Dr Khalid Abdul Aziz Al-Jubair menulis sebuah buku bertajuk Kesaksian Seorang Doktor iaitu versi terjemahan. Beliau menceritakan masalah yang dialami dan bagaimana Allah menyelamatkannya dengan keberkatan istighfar.

Dr Khalid Al-Jubair mendapat fitnah daripada beberapa rakan sekerjanya. Fitnah itu cukup berat dan jika dapat dibuktikan, jawatannya akan terancam. Seterusnya beliau akan dipencenkan dan tidak dibenarkan lagi berkhidmat untuk merawat pesakit. Komplot fitnah itu dilakukan dengan cukup teliti. Mereka semuanya berpakat untuk menjadi saksi dan menciptakan bukti kukuh. Dr Khalid berasa dia tidak berupaya melawan fitnah itu dan mulai murung.

Dia hanya mampu mencari Allah. Seterusnya, keajaiban berlaku pada saat-saat akhir. Allah mendatangkan ilham pada saat dia di masjid untuk menunaikan solat fardu.

“Selama ini orang datang kepadaku dengan harapan yang besar agar aku mengubati mereka. Kini aku juga mempunyai harapan yang besar. Seharusnya aku datang kepada-Nya dan meminta pertolongan daripada-Nya,” kata beliau sendirian.

Kemudian beliau teringat kelebihan istighfar. Beliau segera melafazkan kalimah zikir itu sebanyak mungkin. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dan juga ke hospital beliau tidak henti-henti melafazkan kalimat berkenaan.

Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, bermaksud, “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)

Selepas itu, ada perasaan hebat menyelubungi jiwanya. Beliau seakan-akan mengalami sentuhan spiritual sehingga perasaan resah dan berserabut kerana fitnah itu terus hilang. Tidak lama selepas itu, semua tuduhan dikenakan ke atas beliau digugurkan kerana tidak dapat dibuktikan. Namanya dibersihkan dan beliau bebas untuk berkhidmat seperti biasa.

Rakan-rakannya yang melakukan komplot fitnah pula turut menerima hukuman. Sebahagian daripada mereka ditamatkan perkhidmatan, ada juga yang dilucutkan jawatan dan ada yang dipindahkan ke bahagian lain. Sebahagian yang lain pula datang kepadanya dan memohon maaf.

2. Kisah Ibnu Qayyim

Ibnu Qayyim pula mengisahkan; “Aku sering menyaksikan guruku, Syaikhul Islam (Ibnu Taimiyah) ketika menghadapi masalah-masalah berat, beliau segera bertaubat kepada Allah, memperbanyakkan istighfar, bersandar kepada-Nya dan mengharap turunnya kebenaran dari-Nya.

Biasanya tidak lama selepas itu, bantuan daripada Allah pun turun mencurah-curah sehingga beliau boleh memilih mana-mana sahaja jalan penyelesaian yang beliau mahu.

3. Kisah Ibnu Taimiyah

Ibnu Taimiyah sendiri berkata, “Saat ada masalah yang amat pelik dan rumit, yang membuatkan aku berasa buntu, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1000 kali atau lebih kurang, sampai Allah bukakan dan pecahkan masalah masalah untukku.”

4. Kisah Hasan Al-Basri

Kisah iktibar itu mengenai tabi’in bernama Hasan al-Basri. Beliau sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.

Satu hari, seorang lelaki datang mengadu kepadanya kerana masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian beliau didatangi seorang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang seorang lelaki mengadu kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri menjawab, “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Kesimpulannya, apa sahaja masalah yang datang, kita mampu untuk atasi dengan istighfar. Insya-Allah, dengan membawa hati kembali kepada Ilahi, masalah akan pergi dan jiwa akan rasa lebih tenang dan tenteram. Ayuh kita perbanyyak istighfar mulai hari ini. 

13 comments:

  1. Besar hikmah istighfar kan Kak Ana..terkadang kita tahu tahu lalai untuk mengucap dan mengamalkannya.Sedangkan ianya besar pengaruhnya dalam kehidupan seharian kita.PC pun kena sentiasa ingatkan dan latih diri supaya rajin istighfar setiap hari..moga berterusanlah.Aamiin.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah...sejuk hati pagi ni baca perkongsian kak ana...InsyaÁllah semoga ilmu dan perkongsian pagi ni berguna pada semua :)

    ReplyDelete
  3. terima kasih berkongsi... dgn istighfarlah dpt mengelakkan hati menjadi keras, lalai dan alpa...

    ReplyDelete
  4. Nice sharing kak Ana. Semoga bermanfaat untuk kita semua :)

    ReplyDelete
  5. betul tu, ana banyak keelbihan istigfar..

    ReplyDelete
  6. hebat sekali kelebihan kpd org yg selalu beristighfar. Thanks for sharing...

    ReplyDelete
  7. terima kasih atas perkongsian nya ana.. semoga banyak lagi perkongsian ilmiah sebegini..

    ReplyDelete
  8. besar rupanya hikmah dia. terima kasih share kak ana :)

    https://www.farhanajafri.com/

    ReplyDelete
  9. Nampak kecil amalan istighfar ni, tapi besar fadhilatnya kan..
    SubhanaAllah... Moga kita istiqamah 💪

    ReplyDelete
  10. dengan beristigfar akan membuatkan kita jadi tenang dan boleh control kemarahan.. sabar itu indah

    ReplyDelete
  11. insya allah tq ana atas good sharing ni

    ReplyDelete
  12. Insyaallah.. Terima kasih di atas perkongsian.. :)

    ReplyDelete
  13. In shaa Allah nak amalkan jugak..thanks share :)

    ReplyDelete

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih pada yang sudi tinggalkan jejak di sini. InsyaAllah Ana akan membalas kunjungan anda semua ❤