Abu Talhah al-Ansari Lepas Kemewahan Demi Ibadah - Ana Suhana

Feb 8, 2019

Abu Talhah al-Ansari Lepas Kemewahan Demi Ibadah


Abu Talhah al-Ansari Lepas Kemewahan Demi Ibadah | Assalamualaikum dan salam Jumaat yang barokah. Lama tak kongsi cerita-cerita pedoman dekat sini. Asyik cerita nikmat dunia je kan. Huhu. Nak jadi cerita malam tadi tengok segmen Hayatus Sahabah di Astro Oasis. Kebetulan Ana ada juga buku Hayatus Sahabah karangan Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany. Dan buku ni antara buku favorite Ana lah. So borak-borak dengan En Suami tentang ni. Tu yang keluar cerita tentang Abu Talhah al-Ansari Lepas Kemewahan Demi Ibadah ni.
Abu Talhah al-Ansari Lepas Kemewahan Demi Ibadah

Entri kali ni Ana garap dari Berita Harian sebab cerita dia sama macam yang Ana baca. So jom kita selami kisah sahabat sahabat yang kuat berjihad di jalan Allah SWT, Saidina Zaid bin Sahl al-Ansari atau lebih dikenali sebagai Abu Talhah al-Ansari.

Siapa Abu Talhah al-Ansari ni?? Beliau merupakan seorang sahabat yang mengutamakan kepentingan agama melebihi segalanya. Selepas memeluk Islam, beliau sentiasa memberi perhatian kepada agama Allah SWT, serta meletakkan keupayaan dan kegagahan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Beliau juga tergolong dalam 70 orang yang berjanji taat setia kepada Rasulullah SAW dalam perjanjian 'Aqabah. Selepas termeterai perjanjian itu, beliau termasuk dalam kalangan 12 orang naqib dilantik oleh Rasulullah SAW untuk membimbing dan memimpin kaumnya, Bani Najjar.

Abu Talhah al-Ansari Menyertai Peperangan

Hampir seluruh peperangan pada zaman Rasulullah SAW disertai oleh Abu Talhah. Dan pengorbanan terbesar beliau adalah ketika mempertahankan Baginda SAW pada serangan kedua dalam Perang Uhud. Ketika serangan itu, tentera Muslimin berada dalam keadaan berkecamuk dan jauh daripada Rasulullah SAW sehingga Musyrikin berjaya menyerang menyebabkan gigi Baginda patah serta luka di dahi dan bibirnya. Pada saat itu, ada dalam kalangan Musyrikin menjerit dan melaungkan: "Muhammad telah mati."

Maka kegusaran dan kebimbangan menguasai hati golongan Muslimin. Sebagai benteng manusia yang pertahankan Rasulullah, Abu Talhah tetap setia berada di sisi Rasulullah SAW bersama dengan sekumpulan kecil sahabat. Abu Talhah berdiri tegap di hadapan Baginda bagaikan bukit yang tidak goyah sambil memanah angkatan musuh. MasyaAllah.

Satu demi satu anak panah mengenai musuh. Baginda SAW sesekali menjengah untuk melihat Abu Talhah. Melihatkan Baginda SAW, Abu Talhah berkata: "Ya Rasulullah, tunduklah. Aku tebus kamu demi ibu dan ayahku. Aku tidak mahu kamu cedera walaupun sedikit Ya Rasulullah. Biarlah kematianku mendahului kematianmu dan biarlah dadaku lebih dulu merasai tikaman musuh daripada dadamu. Aku berjanji sebagaimana yang aku sering katakan, aku adalah tebusan untukmu Ya Rasulullah."

Baca juga : Kisah Sebatang Pokok Kurma Yang Menangis Rindukan Rasulullah

Panahan demi panahan diluncurkan oleh Abu Talhah mengenai tentera musuh. Saat anak panahnya kehabisan, lalu digantikan dengan yang baharu daripada angkatan Muslimin lain. Dikatakan, dalam peperangan Uhud, tiga batang busur panah miliknya patah. Selain kesungguhan mempertahankan Rasulullah SAW dan kecintaan untuk berjihad di jalan Allah SWT, Abu Talhah juga bersungguh-sungguh meraih syurga Allah SWT melalui harta yang dimilikinya.

Abu Talhah al-Ansari Melepaskan Kebun Kurma Kesayangannya Ke Jalan Allah

Abu Talhah antara sahabat yang kaya, Beliau mempunyai kebun kurma yang segar dan baik yang paling besar di Kota Madinah sehingga dikatakan sebaik-sebaik tanaman adalah tanaman di kebun Abu Talhah. Di kebun itu mempunyai perigi yang sangat baik airnya. Rasulullah SAW kerap berehat di kebun itu.

Dikisahkan, satu hari ketika sedang menunaikan solat sunat di kebunnya, Abu Talhah terlihat seekor burung berterbangan dari dahan ke dahan pohon kurma. Keasyikan melihat burung yang cantik itu menyebabkan beliau terlupa rakaat solatnya.

Disebabkan tidak mahu terganggu khusyuk beribadah kepada Allah SWT, beliau sanggup menghadiahkan kebun itu di jalan Allah SWT. Sesudah solat, Abu Talhah terus bertemu Rasulullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, kebunku ini aku hadiahkan fi sabilillah."

Abu Talhah juga seorang yang kuat berpuasa. Sepanjang hidupnya, Abu Talhah sentiasa berpuasa dan berjihad di jalan Allah SWT. Dikatakan, beliau tidak pernah berbuka puasa dan makan pada siang hari kecuali pada hari raya dan hari yang diharamkan berpuasa. Sekalipun keluar berperang, beliau tidak pernah berbuka puasa.

Pada zaman pemerintahan Saidina Uthman ibn Affan, Abu Talhah mengambil kelengkapannya untuk keluar berperang. Saat itu, anak-anaknya berkata kepada beliau: "Semoga Allah merahmati kamu wahai ayah kami. Sesungguhnya engkau sudah tua dan engkau berperang bersama Rasulullah SAW serta bersama pasukan sahabat yang lain. Kenapakah tidak ayah rehat sahaja sekarang? Biarlah kami berperang bagi pihak ayah."

Lantas Abu Talhah menjawab dengan membacakan ayat Allah SWT bermaksud: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang di jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (Surah al-Taubah, ayat 41)

Abu Talhah berkata kepada anaknya: "Aku ingin melaksanakan kedua-dua daripada perintah Allah. Saat aku kuat mahupun aku lemah."

Begitulah kuatnya semangat juang sahabat demi mempertahankan Islam dan menegakkan agama Allah SWT. Semoga semangat juang sahabat dapat menjadi contoh terbaik buat kita dalam menegakkan syiar Islam.

10 comments:

  1. Cerita yang bagus untuk dijadikan teladan :)

    ReplyDelete
  2. Touching pulak baca part Abu Talhah mempertahan Rasullullah sambil memanah tu
    Menarik kisah ni.

    ReplyDelete
  3. Allahu.Suka baca.Menginspirasi.Rasa cinta pada kekasih Allah.Pada agama dan akhirat.SubhanaAllah.

    ReplyDelete
  4. Moga kita berusaha untuk menjadi seperti Abu Talhah yang mencintai pencipta dari segalanya

    ReplyDelete
  5. saya follow sini...
    http://balqis-resepiku.blogspot.com/

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas perkongsian.

    Saya suka sangat baca kisah-kisah pengorbanan sahabat Rasulullah SAW. Tak mampu jadi seperti mereka. Tapi kisah-kisah mereka sangat memberi inspirasi.

    ReplyDelete
  7. Ya Allah kuatnya Iman dia. Patut Kita contohi la

    ReplyDelete
  8. Subhanallah.. kisah yg menyuntik inspirasi dan kesedaran buat diri ini. Terima kasih atas perkongsian ini Ana, semoga Allah sentiasa memberkati.. aamiin.

    ReplyDelete

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih pada yang sudi tinggalkan jejak di sini. InsyaAllah Ana akan membalas kunjungan anda semua ❤