Panduan Qiamullail JAKIM - Ana Suhana

Jun 5, 2018

Panduan Qiamullail JAKIM



Panduan Qiamullail JAKIM | Assalamualaikum. Hari ini masuk Ramadan ke-20. Ini bermakna kita semua sedang menuju ke 10 Ramadan terakhir di mana salah satu keistimewaannya ialah adanya malam Al-Qadr - malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Dan disepanjang 10 malam terakhir ni kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah. Dan juga kita juga disarankan untuk mengerjakan qiamullail. Qamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT. Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dahulu lagi.
Kelebihan Qiamullail

Banyak ayat al-Quran dan hadith Nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat qiamullail.

Diantaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’: 79)

Dalam firman-Nya yang lain berbunyi yang maksudnya: “Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.” (Surah al-Insan: 26)

Rasulullah SAW menyuruh umatnya bangun beribadat di tengah malam (qiamullail) sebagai satu ibadat tambahan. Baginda sentiasa melakukan qiamullail dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadith dari Aisyah RA yang berbunyi dengan maksudnya:

“Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan
ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Muttafaq Alaih).

Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya. Firman Allah SWT yang berbunyi dengan maksudnya: “Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.” (Surah al-Muzammil: 6)

Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda yang
berbunyi:

Maksudnya: “pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.”(Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadith lain pula. Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.”( Riwayat al-Tirmizi).

Amalan-Amalan Sunat Semasa Qiamullail

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang disebut di atas menunjukkan bahawa di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa qiamullail ialah mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar memohon ampun ke hadrat Allah SWT. Tentang sedikit atau banyaknya mengerjakan amalan-amalan sunat bergantung kepada kemampuan seseorang.

Jika seseorang itu hanya mampu mengerjakan hanya dua rakaat sembahyang Tahajjud sahaja umpamanya, maka ini juga dikira melakukan ibadat qiamullail. Walau bagaimanapun sedikit atau banyak bukanlah menjadi ukuran, yang penting ialah keikhlasan seseorang dalam mengerjakan ibadah dan sentiasa melakukannya kerana keikhlasan dan selalu melakukannya itu akan lebih menghampirkan seseorang kepada Allah SWT.

1. Sembahyang Sunat Awwabin

Awwabin bererti kembali iaitu kembali mengingati Allah SWT ketika berada dalam kelalaian. Sembahyang sunat ini biasadilakukan di antara waktu Maghrib dengan Isyak. Sembahyang ini boleh dikerjakan 20 rakaat, 4 rakaat dan 2 rakaat.

Fadilat Sembahyang Sunat Awwabin :

Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi: “Sesiapa yang bersembahyang di antara Maghrib dan Isyak 20 rakaat, Allah SWT membina untuknya sebuah mahligai dalam syurga.” (Riwayat Ibn Majah)

Cara-cara Sembahyang Sunat Awwabin :

1. Sebelum seseorang itu mendirikan sembahyang sunat tersebut dia hendaklah membaca doa ini:
Maksudnya: “Selamat datang wahai malaikat yang bertugas malam, selamat datang wahai dua malaikat pencatat yang mulia, tuliskan dalam rekodku sesungguhnya aku naik saksi bahawasanya Tiada yang lain melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad SAW itu hamba-Nya dan perutusan-Nya, aku naik saksi bahawasanya syurga itu benar, neraka itu benar, kalam itu benar. Aku naik saksi bahawa kiamat itu benar dan pasti akan datang tidak ragu lagi, Allah akan bangkitkan mayat daripada kubur. Hai! Tuhanku simpankanlah penyaksianku ini di sisi-Mu untuk hari yang aku perlukan kepadanya. Hai! Tuhanku simpankanlah amalanku, ampunkanlah dosaku, beratkanlah timbanganku yang baik dan pastikan dengannya pencapaian cita-citaku dan perkenankanlah untukku hai tuhan yang sangat Pemurah.”

2. Kemudian sembahyang dua rakaat dengan lafaz niat seperti berikut:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat memelihara iman serta Awwabin dua rakaat kerana Allah SWT.”

Bacaan tiap-tiap rakaat selepas al-Fatihah:
✔ 6 kali surah al-Ikhlas
✔ 1 kali surah al-Falaq
✔ 1 kali surah al-Nas

Dalam rakaat kedua juga dibaca seperti dalam rakaat pertama, kemudian selepas salam, bacalah doa ini:
Maksudnya: “Ya Allah, penuhkanlah aku dengan iman dan peliharakanlah ia sepanjang hidupku, waktu matiku dan selepas matiku.”

Sesudah itu bangun sembahyang dua rakaat lagi dengan lafaz:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Awwabin dua rakaat kerana Allah SWT.”

Selepas membaca surah al-Fatihah bacalah mana-mana surah yang telah ditetapkan dalam dua rakaat itu.

2. Sembahyang Sunat Tahajjud

Pengertian Tahajjud ialah sembahyang sunat apabila terjaga daripada tidur malam walaupun tidur hanya sebentar. Sembahyang ini dilakukan selepas daripada waktu Isyak sehingga terbit fajar. Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar. Sembahyang ini dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat secara bersendirian. Lakukanlah seberapa banyakyang termampu.

Fadilat Sembahyang Sunat Tahajjud :

i. Mendapatkan pengawasan Allah SWT dan menampakkan kesan-kesan ketaatan di wajahnya.
ii. Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orang-
orang mukmin.
iii. Percakapannya mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.
iv. Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
v. Dimudahkan hisab ke atasnya.
vi. Senang melalui Titian Siratul Mustaqim
umpama kilat yang menyambar.
vii. Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
viii. Jauh daripada kebinasaan.

Cara-cara Sembahyang Sunat Tahajjud :

1. Lafaz niat :
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah taala.”

2. Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.

3. Pada rakaat kedua hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas

4. Selepas daripada salam hendaklah membaca doa ini:
Maksudnya: “Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”

3. Sembahyang Sunat Hajat

Sembahyang Hajat bererti sembahyang untuk meminta sesuatu hajat yang tertentu. Ia boleh dilakukan secara bersendirian mengikut hajat masing-masing dan boleh juga dilakukan secara berjemaah jika untuk niat yang sama.

Cara-cara Sembahyang Sunat Hajat :

Sembahyang ini tidak ditentukan jumlah rakaat sebenar tapi biasanya dilakukan antara dua hingga dua belas rakaat.

1. Lafaz niat:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Hajat rakaat kerana Allah Taala.”

2. Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah satu kali dan surah al-Kafirun satu kali atau sepuluh kali.

3. Pada rakaat kedua hendaklah baca surah al-Fatihah satu kali dan surah al-Ikhlas satu kali atau sepuluh kali.

Selepas memberi salam hendaklah membaca doa ini:

Kemudian pohonlah apa yang dihajati. Apabila selesai berdoa hendaklah diakhiri dengan selawat iaitu:
Insya Allah segala apa yang dihajati akan dimakbulkan oleh Allah SWT.


4. Sembahyang Sunat Taubat

Sembahyang sunat Taubat bererti sembahyang memohon keampunan dan taubat Nasuha daripada Allah SWT Sembahyang ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Asas sembahyang ini ialah:

i. Menyesal di atas segala perbuatan dosa yang dilakukan.
ii. Menyucikan diri daripada perbuatan dosa dan berhenti daripada melakukan maksiat serta meminta ampun di atas apa yang telah dilakukan daripada Allah SWT, memohon maaf kepada manusia terhadap dosa yang berkaitan dengan harta benda, maruah dan jiwa. Mengqadhakan segala apa yang telah terluput seperti amalan-amalan sembahyang, puasa dan lain-lain sekadar yang termampu.
iii. Berazam tidak akan melakukan lagi segala perbuatan tersebut serta menjauhkannya.

Cara-cara Sembahyang Sunat Taubat :

1. Lafaz Niat:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”

2. Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.

3. Pada rakaat yang kedua pula hendaklah baca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas.

4. Kemudian selepas salam bacalah wirid dan istighfar ini:
dan akhirnya bacalah doa yang biasa dibaca untuk memohon keampunan dan taubat daripada Allah SWT.


5. Sembahyang Sunat Tasbih

Mengenai sembahyang ini Imam Nawawi pernah berkata bahawa telah menjadi pegangan jumhur ulama syafi’iyah bahawa sembahyang Tasbih ini adalah hukumnya sunat. Terdapat hadith-hadith yang menggesa supaya beramal pada setiap hari, jika tidak melakukannya hendaklah dilakukan seminggu sekali, jika tidak dapat dilakukan seminggu sekali hendaklah dilakukan sebulan sekali, jika tidak dapat dilakukan sebulan sekali, hendaklah dilakukan setahun sekali, jika tidak dapat melakukan setahun sekali hendaklah dilakukan sekali seumur hidup. Walaupun hadith-hadith tersebut tidak kuat untuk dijadikan hujah, tapi ulama membolehkan beramal dengan fadhai’l amal.

Waktu mengerjakannya ialah pada waktu siang dilakukan empat rakaat dengan satu salam.

Bacaan Tasbih dan bilangannya :
Jumlah bacaan tasbih dalam satu rakaat ialah 75 kali.Jumlah dalam empat rakaat ialah 300 kali.

Cara-cara Sembahyang Sunat Taubat :

1. Lafaz niatnya:

a. Waktu siang
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah Taala.”

b. Waktu malam
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.”

2. Setelah membaca doa Iftitah maka bacalah al-Fatihah kemudian bacalah surah-surah yang difikirkan sesuai.

3. Sebelum rukuk bacalah tasbih sebanyak 15 kali.

4. Rukuk, selepas bacaan rukuk bacalah tasbih sebanyak 10 kali.

5. I’tidal, selepas bacaan i’tidal bacalah sebanyak 10 kali.

6. Sujud, selepas bacaan sujud bacalah tasbih sebanyak 10 kali.

7. Duduk di antara dua sujud, selepas membaca doanya bacalah tasbih sebanyak
10 kali.

8. Sujud kedua, selepas bacaannya bacalah tasbih sebanyak 10 kali.

Sebelum berdiri hendaklah duduk istirehat
dan bacalah tasbih sebanyak 10 kali, begitu
juga selepas tahiyyat akhir sebelum salam. (Tasbih sebanyak 10 kali selepas tahiyyat awal sekiranya sembahyang itu dilakukan
pada waktu siang hari.)


6. Sembahyang Sunat Witir

Witir ertinya ganjil, yakni tidak genap rakaatnya. Sembahyang ini boleh dilakukan secara perseorangan atau berjemaah. Hukumnya sunat muakkad, dikerjakan sekurang-kurangnya satu rakaat dua salam dan sebanyak-banyaknya sebelas rakaat dengan tujuh salam. Waktunya selepas sembahyang Isyak.

Fadilat Sembahyang Sunat Witir :

i. Para malaikat turut menyaksi atas kesungguhan amalannya.
ii. Lebih afdal daripada sunat-sunat rawatib yang lain. Waktunya selepas sembahyang Isyak. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah sembahyang Witir, sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada witir.” (Riwayat Ahmad)

Cara-cara Sembahyang Sunat Witir :

1. Lafaz Niat:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.”
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Witir satu rakaat kerana Allah taala.”

2 .Rakaat pertama selepas al-Fatihah, baca surah al- ‘Ala.

3. Rakaat kedua selepas al-Fatihah, baca surah al-Kafirun.

4. Rakaat ketiga selepas al-Fatihah, baca surah:
✔ Surah al-Ikhlas
✔ Surah al-Falaq
✔ Surah al-Nas

5. Selepas tahiyyat dan salam baca:

6. Selepas itu baca doa ini:



Amalan Lain Yang Disunatkan Semasa Qiamullail

Antara amalan-amalan lain yang disunatkan semasa qiamullail ialah:

1. Membaca al-Quran

Membaca al-Quran adalah satu ibadat yang
mempunyai pahala yang besar kerana setiap huruf yang dibaca itu akan digandakan sepuluh kebajikan. Dalam perkara tersebut Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda yang bermaksud: “Bacalah olehmu al-Quran kerana pada hari kiamat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.”
(Riwayat Muslim)

Antara surah-surah yang sangat baik untuk 
dibaca ialah:

i. Surah Yasin, ia merupakan surah jantung al-Quran (Hadith riwayat Ahmad)
ii. Surah al-Rahman, ia diibaratkan gadis pengantin (Hadith riwayat Ahmad)
iii. Surah al- ‘Ala, ia adalah surah yang sangat digemari oleh baginda Rasulullah SAW (Hadith riwayat al-Bukhari)
iv. Surah al-Fatihah, ia adalah pokok al-Quran (Hadith riwayat al-Bukhari)
v. Surah al-Kahfi, ia adalah tempat naungan pada hari akhirat (Hadith riwayat al-Bukhari)
vi. Surah al-Kahfi, ia merupakan tempat naungan para malaikat (Hadith riwayat Muslim)
vii. Surah al-Sajadah, ia sangat digemari oleh baginda Rasulullah SAW (Hadith riwayat al-Tarmizi)
viii. Surah al-Mulk, ia adalah surah yang memberi syafaat pada hari akhirat nanti (Hadith riwayat Ibn Majah)
ix. Surah al-Nas dan al-Falaq, ia adalah surah yang memberi perlindungan pada hari akhirat nanti (Hadith Abu Daud)

2. Zikir

Berzikir ialah sama ada menyebut kalimah Laillahaillallah atau Allah, Allah atau Subhanallah  atau Alhamdulillah atau Allahu Akbar.

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman ingatlah kepada Allah melalui zikir yang banyak.” (Surah al-Ahzab: 41)

Fadilat Zikir :

1. Mengubati hati yang lalai dan leka.
2. Untuk mendapatkan darjat dan kurniaan yang melimpah pada hari akhirat nanti.
3. Bagi sesiapa yang bertasbih seratus kali dan tahlil seratus kali selepas sembahyang Subuh maka Allah akan mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan sekalipun.
4. Barang sesiapa berzikir Subhanallah (33x), Alhamdulillah (33x),  Allahu Akbar (33x) dan di akhiri dengan:
maka Allah akan mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.

Semoga panduan ini bermanfaat buat kita semua dan selamat mengejar malam Al-Qadr. Semoga kita tergolong diantara hamba-hambaNya yang terpilih untuk bertemu malam penuh keberkatan itu. Amin.

11 comments:

  1. Terima kasih kak perkongsian.Moga Allah kuatkan semangat kita untuk beribadah secara berterusan...terutama di malam 10 terakhir ramadhan ni...kurangkan rasa mengantuk sebaliknya bertenaga sentiasa..aamin.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Wrmbth. Maznee singgah blog sis untuk blog walking petang selasa ni. Terima kasih ana atas panduan solat dan ibadat malam

    ReplyDelete
  3. Apa khabar hari ni ana. Mama singgah BW. Bagus hidupkan malam terakhir ramadhan dengan quamul lail

    ReplyDelete
  4. Selamat berbuka puasa Ibu ucapkan kepada sis ana. Semoga Allah berikan kita kekuatanbangun malam dan buat qiamullail. Dosa kita yang menghalang bangun malam.

    ReplyDelete
  5. sedih rasa sebab Ramadan dah semakin meninggalkan kita..semoga Ana dan keluarga sihat dan berada didalam rahmatNya selalu

    ReplyDelete
  6. Salam 10 terakhir Ramadan..
    Lengkap perkongsian Ana, alhamdulillah boleh rujuk ni nanti..
    Dalam banyak solat sunat,
    Solat tasbih tu paling lama sebab kena bertasbih 300x dan agak lenguh tapi tak salah sesekali buat.
    Besar fadhilatnya tu

    Moga moga kita diberikan kesihatan yang baik untuk beribadat,
    Rasa sayu Ramadan kejap je dah nak tutup tiraišŸ˜„

    ReplyDelete
  7. Terima kasih Ana untuk perkongsian ini..

    ReplyDelete

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih pada yang sudi tinggalkan jejak di sini. InsyaAllah Ana akan membalas kunjungan anda semua ❤